Pembukaan Madarasah Misbahul Falah Mahmud Nasri Osmani

Madrasah Misbahul Falah telah ditubuhkan pada tahun 1957 setelah terjadinya kesepakatan antara Tuan Haji Abu Bakar iaitu bapa mentua kepada Tuan Guru Haji Omar Zuhdi Solih dan penduduk tempatan serta kerjasama daripada Tuan Guru sheikh Mahmud Nasri Osmani.

Tuan Guru Haji Omar Zuhdi Solih ialah anak kelahiran Kelantan yang berasal dari daerah Pengkalan Chepa Kota Bharu. Beliau yang merupakan anak murid kepada Tuan Guru Haji Yahya Taha Kampung Pisang kemudian melanjutkan pelajaran ke Makkatul Mukarramah dan berguru kepada beberapa orang tuan guru di sana seperti Tuan Guru Sheikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir (Pak Da’el), Sheikh Mukhtar Abdul Malik Kudri Al-Makki, Sheikh Abdul Qadir bin Abdul Muthalib Al-Mandili dan Sheikh Muhammad Daud Sulaiman Al-Kelantani Al-Makki.

Sekembalinya beliau dari Makkatul Mukarramah bersama isteri dan anak-anaknya dan beliau telah selesai menuntut ilmu pengetahuan serta berbekalkan dengan keazaman yang kuat, beliau berhasrat pula untuk membuka sebuah pusat pengajian bertujuan untuk menyebarkan ilmu pengetahuan agama Islam kepada anak bangsanya. Atas kehendak ayahandanya, Tuan Guru Sheikh Omar Zuhdi mengambil keputusan menetap di Banggol Berangan Lanai, Kupang, Kedah serta membuka pondok pengajian atas nama Madrasah Misbahul Falah.

Menurut perancangan awal, pembukaan Madrasah Misbahul Falah akan dirasmikan oleh kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Sultan Badlishah pada tahun 1957. Setelah hari keberangkatan baginda sultan Kedah ditetapkan dan segala persiapan telah diatur termasuklah majlis kenduri dan sebagainya, datang satu berita yang mengatakan bahawa baginda sultan Kedah telah mangkat. Pihak pengurusan Madrasah mengadakan acara tahlil sempena kemangkatan sultan Kedah dan Madrasah Misbahul Falah tersebut dirasmikan sendiri oleh Tuan Guru Haji Omar Zuhdi Solih.

Madrasah Misbahul Falah terus berkembang mengikut manhaj yang telah disediakan oleh Tuan Guru Haji Omar Zuhdi sendiri, mengikut system pengajian Nizhomi dan Umumi. Sistem pengajian nizhomi ialah sistem pengajian kelas bermula tahun I’dadi hingga ke thanawi dan sistem pengajian umumi ialah pengajian kitab-kitab torah dari kulit ke kulit. Sistem pengajian nizhomi dan umumi mendapat sambutan yang sangat baik di kalangan masyarakat yang dahaga akan ilmu pengetahuan agama serta dapat berjalan sehingga sekarang ini. Tuan Guru Sheikh Mahmud Nasri Osmani pula mendirikan sebuah madrasah yang mengekalkan nama madrasah Misbahus Salam di rumahnya berhampiran dengan madrasah tersebut. Beliau membantu mengajar kitab-kitab torah secara umumi kepada mana-mana pelajar yang berada di madrasah Misbahul Falah yang gemar menuntut ilmu daripadanya.

Mahmud meninggal dunia pada 28 Safar 1400H ketika berusia 81 tahun.